Rabu, 25 Disember 2013

E-dagang/jual online

Kedai online makin popular

  • Kedai online makin popular
1 / 1
PASARAN beli-belah dalam talian di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut penyedia platform membeli-belah dalam talian Rakuten Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rakuten Masaya Ueno berkata, laporan Euromonitor menjangkakan nilai pasaran online di Malaysia meningkat daripada RM842 juta pada 2011 kepada RM1.72 bilion menjelang 2017.

Beliau berkata, prospek pasaran itu turut positif dengan Asia dijangka mendahului pertumbuhan e-dagang di peringkat global dengan jangkaan peningkatan 27.5 peratus, mencecah AS$323.1 bilion (RM1.064 trilion), menurut kajian Goldman Sachs.

"Rakuten Malaysia yakin dengan prospek pasaran pada 2014 kerana ada peningkatan dalam pertumbuhan dan penggunaan e-dagang, pembayaran dalam talian dan perniagaan kandungan digital dalam pasaran Malaysia," katanya dalam satu kenyataan berhubung unjuran industri itu bagi tahun depan.

Menurut beliau, Rakuten Malaysia yang memasuki pasaran negara ini pada November tahun lalu menerima sokongan hebat daripada rakan dagang, penjual dan pelanggan.
"Pada masa ini, terdapat 40,000 produk dipasarkan melalui Rakuten Online Shopping daripada 130 syarikat peruncitan.

"Pemerhatian kami dalam 12 bulan lalu menunjukkan pembelian e-dagang dan sikap pelanggan telah berubah dan menjadi semakin sofistikated," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat sektor itu dijangka berterusan tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, berdasarkan tiga trend utama iaitu jangkaan pengguna yang semakin meningkat, pembelian melalui pelbagai saluran dan penggunaan sepenuhnya khidmat data untuk menjangka sikap pengguna oleh syarikat peruncitan.

Usahawan bumiputera

Bantu Bumiputera ke peringkat global

  • Noraini Ahmad Noraini Ahmad
1 / 1
PROGRAM Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang dimulakan sejak 2004 telah membantu 122 syarikat Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa, setakat ini.

Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad berkata, setiap tahun antara 10 hingga 12 syarikat milikan Bumiputera yang layak akan dipilih untuk menyertai program tersebut.

"Pada 2012, syarikat-syarikat di bawah program BEDP mencatatkan jualan eksport sebanyak RM40.53 juta daripada penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti promosi antarabangsa.

“Ini menunjukkan BEDP berjaya mencapai matlamatnya walaupun jumlah peruntukan diterima adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Matrade memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera mengikuti program itu.

Beliau berkata, Matrade pada masa ini membelanjakan antara RM1 juta dan RM2 juta menggunakan dana operasi agensi itu bagi melaksanakan program tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat yang terpilih mengikuti program itu berpeluang menyertai mana-mana aktiviti promosi eksport antarabangsa dan menyertai seminar, bengkel serta latihan berkaitan eksport anjuran Matrade sepanjang tempoh tiga tahun program tersebut.

Selain BEDP, Matrade turut mengendalikan program serupa membabitkan syarikat milik usahawan wanita di bawah Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) yang dimulakan sejak 2005.

Sehingga kini, 88 syarikat milikan wanita terpilih menyertai WEDP dan tahun lalu, RM38.25 juta jualan eksport berjaya dicatatkan hasil daripada penyertaan mereka dalam aktiviti promosi eksport.