• Noraini Ahmad Noraini Ahmad
1 / 1
PROGRAM Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang dimulakan sejak 2004 telah membantu 122 syarikat Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa, setakat ini.

Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad berkata, setiap tahun antara 10 hingga 12 syarikat milikan Bumiputera yang layak akan dipilih untuk menyertai program tersebut.

"Pada 2012, syarikat-syarikat di bawah program BEDP mencatatkan jualan eksport sebanyak RM40.53 juta daripada penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti promosi antarabangsa.

“Ini menunjukkan BEDP berjaya mencapai matlamatnya walaupun jumlah peruntukan diterima adalah terhad,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Matrade memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera mengikuti program itu.

Beliau berkata, Matrade pada masa ini membelanjakan antara RM1 juta dan RM2 juta menggunakan dana operasi agensi itu bagi melaksanakan program tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat yang terpilih mengikuti program itu berpeluang menyertai mana-mana aktiviti promosi eksport antarabangsa dan menyertai seminar, bengkel serta latihan berkaitan eksport anjuran Matrade sepanjang tempoh tiga tahun program tersebut.

Selain BEDP, Matrade turut mengendalikan program serupa membabitkan syarikat milik usahawan wanita di bawah Program Pembangunan Pengeksport Wanita (WEDP) yang dimulakan sejak 2005.

Sehingga kini, 88 syarikat milikan wanita terpilih menyertai WEDP dan tahun lalu, RM38.25 juta jualan eksport berjaya dicatatkan hasil daripada penyertaan mereka dalam aktiviti promosi eksport.