• Usah jadikan wang punca masalah...                   
SALAM perkenalan. Kolum Urus Wang Anda yang dibawakan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini dikhususkan kepada pembaca yang ingin mendapatkan tips berguna bagi menguruskan perbelanjaan peribadi dengan baik.

Kolum ini akan dimulakan dengan artikel mengenai kisah watak bernama Adam.

Dalam artikel bersiri ini, pembaca dapat melihat bagaimana perancangan kewangan boleh menjadi amalan seharian apabila mengharungi cabaran dalam fasa berbeza kehidupan.

Perancangan kewangan adalah satu bahagian yang penting dalam kehidupan jadi setiap orang, tidak kira tua ataupun muda, harus mempunyai pengetahuan asas dalam ilmu kewangan.

Adam seorang pemuda berasal daripada keluarga sederhana yang mempunyai tiga adik-beradik.

Bapanya seorang juruteknik di sebuah syarikat tempatan sementara ibunya pula mengajar di sekolah rendah.

Dia adalah anak sulung dalam keluarganya, dengan seorang adik lelaki dan dua adik perempuan yang masih di bangku sekolah.

Keluarganya bukanlah kaya sangat tetapi mereka ada semua keperluan asas hidup serta sedikit wang sampingan untuk dibelanjakan semasa percutian sekeluarga.

Adam dan adik-adiknya pun bukan selalu dapat menikmati permainan serta alatan terkini yang serba canggih, malah sering kali ditegur bapa dengan kata-kata, “Eh… bukan senang nak cari wang...rezeki tak jatuh dari langit tau?”

Adam baru menamatkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sementara menunggu keputusannya, dia mencari kerja sambilan.

Dia berjaya mendapat kerja sebagai juruwang bank dan dibayar gaji RM800!

Sebaik sahaja dia menerima gaji pertamanya, separuh daripada gajinya dimasukkan ke dalam akaun bank.

Sebenarnya, tabiat menabung ini telah dipupuk oleh ayahnya sejak dia kecil lagi.

Ayahnya pernah berpesan kepada dia dan adik-beradiknya untuk menabung sebaik sahaja mereka mula bekerja.

Dengan lebihan gajinya, sekali-sekala dia membawa keluarganya untuk keluar makan malam.


Baru tahu nilai wang

Sejak bulan kedua bekerja, Adam mula berfikir untuk merancang belanjawannya kerana sejak dia mula bekerja, dia tidak lagi menerima wang saku daripada ibu bapanya.

Dia tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu bapanya dan dia juga tidak mahu membazirkan wang yang diperolehnya dengan titik peluh sendiri (sekarang dia sudah mula sedar mengenai nilai wang!)

Jadi Adam telah menyediakan belanjawannya. Adam merasakan perbelanjaan makanan adalah paling tinggi daripada keseluruhan perbelanjaannya, lalu dia memperuntukkan RM10 setiap hari untuk belanja makanan (purata 25 hari kerja dalam sebulan) dan ini cuma untuk makan tengah hari dan snek petang.

Dia bercadang untuk bersarapan pagi dan makan malam di rumah kerana ini bukan sahaja menjimatkan belanja (sebab utama) malah juga lebih menyihatkan (sebab kedua).

Adam juga membeli Kad Perjalanan Bulanan berbanding pas harian kerana ia lebih murah jika seseorang itu selalu menggunakan pengangkutan awam.

Dengan perbelanjaan cuma RM135 sebulan sahaja, dia dapat menikmati perjalanan dengan bas awam dan LRT.


Tak bermaksud tak boleh enjoy!

Adam juga memperuntukkan wang sebanyak RM15 sekiranya dia perlu menggunakan teksi pada hari hujan.

Selain itu, Adam juga mengetepikan sehingga RM200 untuk dirinya bagi perbelanjaan pakaian dan hiburan, seperti menonton wayang di hujung minggu (dia juga peminat filem yang setia) dan sekali-sekala keluar bersama kawan dan keluarganya.

Sebagai seorang anak yang baik, dia memberikan wang sebanyak RM50 kepada kedua-dua ibu dan bapanya dan selebihnya sebanyak RM100 ditabungkan.

Adam bekerja bersungguh-sungguh tetapi dia menikmati setiap detik kerjanya sambil mempelajari selok-belok operasi perbankan.

Dia banyak belajar tentang tanggungjawab dan sikap berhemat dalam bidang kerjanya.

Dia teringat pesanan pengurusnya yang menasihati agar menjadikan sikap berhemat sebagai amalan hidup, tidak kira berapa banyak pendapatan seseorang itu.


Bukan susah nak menabung

Selepas bekerja di bank selama enam bulan, Adam mendapat berita bahawa keputusan STPM akan diumumkan pada keesokan hari dan dia berasa gementar.

Adam memaklumkan kepada penyelianya bahawa dia akan berhenti kerja tidak lama lagi kerana ingin melanjutkan pelajaran.

Pengurusnya juga telah menawarkan untuk mengambil Adam bekerja secara tetap selepas dia memperoleh ijazah. Sokongan ini membuat Adam berasa bangga dan kini lebih bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh.

Sepanjang malam Adam berasa gelisah memikirkan keputusan STPM yang bakal diumumkan pada keesokan harinya.

Namun, selepas menatap buku tabungannya, dia tersenyum kerana berjaya menabung hampir RM1,000 (wang yang tidak dibelanjakan disalurkan ke dalam tabungannya) sepanjang enam bulan dia bekerja.

Adam terus terlena dengan buku simpanan di dadanya……………

(sambungan dalam artikel seterusnya).
Wartawan Sinar Harian
3 Februari 2014